Assalamualaikum w.b.t.
kali ni nak kongsi satu cerpen..
mungkin agak pelik sedikit dan banyak kesalahan..
jadi... antum boleh kowt tolong semakkan... :)
tolong cadangkan tajuk sekali ye...
Tatkala gerimis pagi masih membasahi bumi, aku terkedu apabila sepucuk warkah yang aku nanti-nantikan selama ini betul-betul berada di tanganku, umpama tanah tandus yang kegersangan dan kekeringan tanpa siraman hujan. Aku bagaikan tersedar daripada sebuah lamunan yang panjang.
Minggu yang ku tunggu bagaikan setahun lamanya, aku dibelenggu keresahan dan kerunsingan yang melampau sehinggakan darahku terasa seperti mengalir tersekat-sekat, terasa lambatnya bulan dan matahari beredar mengelilingi cakerawala.
Aku terdiam sepi, lidahku kelu, mulutku terkunci rapat. Terasa berat sekali untuk membuka warkah yang baru aku terima ini. Aku bagaikan kotak pandora yang apabila dibuka membawa seribu bencana tetapi aku tahu di dalamnya ada sebuah harapan yang tidak akan berhenti bersinar.
Hatiku berasa gemuruh, gementar dan ada kepedihan, mungkin akibat pembedahan dulu. Tertulis pada sampul surat itu,
KEPADA: SYED ASH-SHATIRIE AS-SUDAISI IBNU SYED AL-QUTUB AS-SUDAISI.
DARIPADA: SYARIFAH NUR AINUSH SYIFA’ BINTI SYED AL- FATEH AL-YAMANI.
Gerimis pagi mencengkam kalbuku menjadi sayu dan lemah layu. Aku ke jendela sambil mengenangkan kisah lalu saatku bertemu dengan Ainush Syifa’ di sebuah IPT di Malaysia yakni tempat aku menuntut dahulu.
Pada mulanya, setelah aku berjaya dengan cemerlang di peringkat menengah, aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke pelbagai IPT terkemuka di dunia antaranya Universiti Al-Azhar As-Syariff iaitu sebuah institusi pendidikan yang begitu masyhur sejak dahulu dan menjadi idamanku sejak kecil lagi untuk melanjutkan pelajaran di sana.
Tetapi pada tahun itu walid telah ditugaskan untuk bertugas di kedutaan Arab Saudi di Malaysia. Justeru itu, aku dengan penuh tekad memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Memandangkan ummi juga berasal dari Malaysia, jadi sedikit sebanyak dapat juga aku mendalami penggunaan Bahasa Malaysiaku dengan baik.
Masihku ingat, ketika hari pertama aku menjejakkan kaki ke IPT tersebut, aku terasa amat janggal dengan biah yang terdapat di sana, tidak seperti keadaan ketika aku berada di tempat kelahiranku. Suhunya juga agak lembap dan kadang kalanya agak panas.
Pada Minggu Mesra Siswa, kami dibawa mengelilingi IPT tersebut secara berkumpulan. Aku diletakkan dalam sebuah kumpulan yang dipimpin oleh seorang pelajar tahun dua bernama Kashfi. Dia seorang senior yang peramah dan baik hati. Selain itu, aku juga amat beruntung kerana ditempatkan sebilik dengan abang Kashfi.
Ketika dalam perjalanan meneroka ceruk pelusuk kawasan IPT tersebut, kumpulanku bertembung dengan satu kumpukan penuntut muslimat. Tiba-tiba pandanganku terhenti pada seorang mahasiswi yang pada pandanganku mempunyai sepasang mata yang amat menarik. Matanya bersinar-sinar coklat umpama cahaya yang disuluh ke permata, bulu matanya melentik, jari jemarinya yang meruncing dan ditambah pula dengan tudung labuhnya yang melepasi pusat dan berjubah hitam bersulam benang merah jambu.
Hatiku berbisik,
“Alangkah bertuahnya diri ini sekiranya dapat mengenali gadis ini dengan lebih mendalam. Raut wajahnya juga menunjukkan yang dia mungkin daripada keturunan arab kerana daripada matanya itu.”
Asyik aku menatap wajahnya, tanpa ku sangka dia membalas pandanganku dengan pandangan yang tersipu-sipu malu. Aku merasakan seolah-olah waktu terhenti berdetik ketika mata kami saling bertentangan. Seluruh tubuhku menjadi kaku dan terasa seperti memercikkan peluh-peluh dingin di kulit badanku.
Jantungku berdegup kencang sambil mengalirkan darah dengan begitu pantas ke seluruh urat-urat nadiku. Suatu perasaan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini terus menyelinap ke dalam kalbuku.
“Apakah sebenarnya perasaan hatiku ini ?” Hatiku tertanya sendiri.
Kuliah pertamaku bermula, aku terkesima apabila terpandang muslimah yang inginku cuba dekati itu berada satu kuliah denganku iaitu Pengajian Ilmu Wahyu dan Usul Fiqh. Dia agak lewat tiba pada hari pertama kuliah kami ini.
“Mungkin dia tak jumpa dewan kuliah ini atau tersalah dewan kuliah tadi.” Bisik hatiku.
Dia duduk di barisan hadapan sedikit daripada tempat dudukku tapi masih jelas pada pandangan mataku. Benak fikiranku asyik memikirkannya. Nasib baiklah aku tidak ketinggalan pelajaran yang diajar oleh pensyarah di depan kerana khayalanku itu.
Sebelum mengakhiri kuliah tersebut, pensyarah kami sempat memberikan tugasan pertama buat kami. Tugasan tersebut adalah dalam bentuk kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai empat ahli iaitu dua muslimin dan dua muslimat. Tugasan tersebut mestilah disiapkan dalam masa sebulan.
Setiap kumpulan diberikan tajuk tugasan yang berlainan. Umpama bulan jatuh ke riba, orang mengantuk disorongkan bantal, begitulah perasaan hatiku, gembira tatkala namanya disebut sebagai salah seorang ahli kumpulanku. Seorang muslimin yang biliknya bertentangan dengan bilikku. Ini akan lebih memudahkan kami untuk berbincang bagi menyiapkan tugasan. Seorang lagi muslimah yang kelihatan agak pendiam dan masih belum ku kenali.
Kami memperkenalkan diri masing-masing dimulai dengan diriku. Dari sesi pengenalan diri itu, aku mengetahui yang namanya Ainush Syifa’. Seorang lagi bernama Nur Syuhada Balqis. Kedua-duanya berasal dari Jordan. Seorang lagi tidak perlu aku tanyakan namanya tetapi dia perlu memperkenalkan juga dirinya kepada dua muslimat itu. Namanya Fareez Hamdani berasal dari Pulau Pinang.
Selesai sesi ta’aruf, kami pun beredar untuk menunaikan solat fardu Zohor. Selesai solat, aku dan Fareez segera ke mat’am untuk makan tengah hari. Sepatutnya kuliah kami tadi berakhir sebelum waktu Zohor tetapi disebabkan pembahagian tugas yang agak memakan masa, maka kuliah kami terlewat sedikit.
Kelihatan di mat’am tempat mahasiswa dan mahasiswi makan agak sesak. Aku dan Fareez mengambil keputusan untuk ke gerai menjual nasi berlauk. Kebetulan di situ kami terserempak dengan abang Kashfi yang sedang menjamu selera di meja berhadapan dengan kami. Ketika sedang asyik menjamu selera, pandanganku tetiba terpaling pada raut wajah Ainush Syifa’ yang kebetulan juga sedang melintas di hadapan meja santapan kami.
Kelihatan dia dan Balqis agak tergesa-gesa melintasi kami atau mungkin mereka ada hal yang perlu diselesaikan. Aku hanya tersenyum sendirian sambil diperhatikan oleh Fareez. Dia memandangku sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Semenjak hari tersebut kami berempat sering bertemu di maktabah untuk berbincang mengenai tugasan sebaik sahaja selesai kuliah dan berhenti seketika untuk solat dan makan. Pustakawan yang bertugas di kaunter maktabah itu juga sudah mengenali dan semakin mesra dengan kami kerana kami sering berbincang di meja berdekatan dengannya.
Perbincangan kami ternyata tidak membosankan kerana Fareez seorang yang kelakar dan sering berjenaka. Setiap kali dia mengeluarkan loghat Penangnya pasti mencuit hati kami. Pernah juga kami ditegur kerana membuat bising. Tetapi selalunya pustakawan itu juga turut tersenyum melihat gelagat Fareez yang melucukan.
Suatu hari, iaitu pada minggu kedua perbincangan kami, kelibat Fareez langsung tidak kelihatan dalam kuliah. Hatiku tiba-tiba gelisah.
“Ke mana agaknya si Fareez ni? Tak mungkin dia demam. Semalam sihat saja.” Hatiku berbisik sendiri.
Selesai kuliah, aku segera pulang ke asrama. Aku bergegas ke bilik Fareez. Ternyata dia tiada di situ.
Aku segera menanyakan tentang Fareez kepada rakan sebiliknya, Ahmadi. Lalu dia menghulurkan sepucuk warkah bersampul biru kapadaku. Tanpa berfikir panjang, aku terus membacanya. Warkah itu tertulis bahawa Fareez terpaksa pulang ke kampung kerana bapanya sakit tenat. Dia berpesan kepadaku supaya meneruskan tugasan kami dan InsyaAllah dia akan datang semula secepat mungkin.
Barulah aku mengerti mengapa dia menghilangkan diri sejak pagi tadi. Selesai solat dan makan tengah hari, aku terus ke maktabah untuk meneruskan perbincangan. Aku menerangkan kepada Ainush Syifa’ dan Balqis bahawa Fareez tidak dapat bersama-sama berbincang mengenai tugasan kami dalam masa beberapa hari ini.
Mulai hari itu, tugasan Fareez diambil alih olehku. Agak terbeban juga bagiku kerana perlu melakukan dua tugas berseorangan. Tetiba suara halus yang sering menyejukkan hatiku berkata,
“Anta okey tak ni? Banyak sungguh tugasan yang perlu anta siapkan. Ana kasihan melihat anta menyelesaikan semua tugasan yang ditinggalkan oleh Fareez. Kalau anta perlukan pertolongan, InsyaAllah ana sedia membantu.” Bicara Ainush Syifa’.
Matanya seolah-olah memintaku mengiyakan bantuannya. Aku dapat merasakan akan keikhlasannya untuk membantuku. Akhirnya aku membuat keputusan agar membahagikan tugas Fareez kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk aku dan satu bahagian lagi untuknya.
Hari berganti hari, bayangan Fareez masih juga belum kelihatan. Telefonnya juga tidak berjawab. Makin bertambah kerisauanku.
“Bagaimanakah keadaan bapa Fareez sekarang?” Hatiku berkata.
Setibanya aku di bilik, ku dapati ada sepucuk warkah di atas lantai. Warkah dari Fareez.
Aku terus membuka warkah tersebut lalu aku bacakan isi kandungannya. Fareez menyatakan bahawa dia terpaksa menangguhkan sesi pengajiannya pada tahun ini kerana bapanya telah kembali ke rahmatullah, dia terpaksa mencari pekerjaan bagi menggantikan tempat ayahnya sebagai pemimpin keluarga.
Sebagai anak lelaki yang sulung, dia perlu menjalankan tanggungjawabnya menguruskan segala keperluan perbelanjaan adik-adiknya yang masih bersekolah seramai sembilan orang dan ibunya yang tidak bekerja.
Tanpaku sedari air mataku menitis di pipi lalu jatuh membasahi warkah tulisan jawi hasil tangan Fareez itu.
“Andainya aku dapat membantumu. Berusahalah bersungguh-sungguh dan sentiasalah berdoa dan bertawakkal kepada Allah wahai sahabatku. Barang sesiapa yang menolong agama Allah, maka Allah akan menolongnya. InsyaAllah Allah akan membantumu.”
Pada keesokan harinya, di tempat biasa, kami bertemu. Aku menunjukkan warkah yang dikirimkan oleh Fareez dari kampungnya kepada mereka berdua. Mereka membaca warkah itu dan kelihatan mata mereka berkaca, mungkin juga terasa sayu atau sama-sama bersedih di atas keputusan yang terpaksa diambil oleh sahabat mereka itu. Setelah selesai, keempat-empat mata itu tertumpu kepadaku.
Kini hanya tinggal kami bertiga dalam kumpulan ini. Walau bagaimanapun kami harus menyiapkan tugasan tersebut. Lagipun hanya tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum tarikh penghantarannya. Usaha terus dilipat gandakan. Nampaknya Balqis berjaya menyiapkan tugasannya, lalu dia membantu Ainush Syifa’ pula.
Tugasanku hanya tinggal sedikit sahaja lagi. Seperti biasa, aku yang paling awal tiba di maktabah. Selesai tugasku, kini hanya tinggal tugasan Fareez. Dari jauh kelihatan Ainush Syifa’ sedang menuju kepadaku.
“Tapi, kenapa dia keseorangan, di mana Balqis?” Hatiku tertanya sendiri.
“Ke mana Balqis, kenapa dia tidak bersamamu hari ini?” Tanyaku spontan.
“Oh, katanya dia hendak ke bilik dulu, ada hal penting.” Jawab Ainush Syifa’.
Kami meneruskan tugasan sambil menunggu kedatangan Balqis, tapi malang bayangannya tak juga kelihatan. Ainush Syifa’ berjaya juga menyelesaikan tugasannya. Jelas terpancar kecerian dan kesyukuran di wajahnya. Aku juga turut tersenyum dan berbangga dengan kesungguhannya.
Keesokan harinya, barulah aku mendapat berita bahawa Balqis terpaksa terbang ke Jordan kerana masalah kesihatan tetapi tidak pula aku diberitahu apakah penyakit yang sedang dihidapinya.
“Nampaknya kita berdua sajalah yang tinggal untuk menyiapkan saki-baki tugasan ini.” Kataku kepada Ainush Syifa’.
Semenjak itu hanya kami berdua yang meneruskan tugasan itu sehingga selesai. Ketika baru pulang daripada menunaikan solat fardu Isyak secara berjamaah di masjid, aku terus membaringkan tubuhku di atas katil. Dalam aku merehatkan minda dan badanku ini, tiba-tiba aku dikejutkan oleh satu panggilan.
“Oh, abang Kashfi rupanya. Ada apa-apa yang boleh ana tolong?” Tanyaku.
“Mmm.. begini, ana sebenarnya ada hal yang hendak diberitahu kepada anta. Ana tau anta sudah arif tentang bab-bab ikhtilad muslimin dan muslimat ni memandangkan anta pun seorang muslimin yang soleh, tentulah lebih arif daripada ana. Ana tau anta tengah sibuk menyiapkan tugasan dengan muslimah tu. Tetapi nasihat ana, kalau boleh janganlah selalu berdua-duaan begitu. Takut-takut menimbulkan fitnah pula.” Nasihatnya kepadaku sambil tersenyum.
Aku cukup memahami akan maksud kata-kata abang Kashfi itu. Dia memang abang yang baik dan sentiasa menjaga tatasusila adik-adiknya di IPT tersebut. Di dalam Al-Quran juga ada menyebut dalam surah Al-Isra’ ayat 32 bermaksud ‘Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).’
Semenjak itu, kami hanya berutus warkah untuk berbincang beberapa hal lagi. Alhamdulillah, sehari sebelum tarikh penghantaran tersebut, dapat juga kami menyiapkannya meskipun ada halangan dan rintangan.
Keesokan harinya, selesai menghantar hasil tugasan, aku terus melangkahkan kaki ke mat’am untuk minum petang sebelum menunaikan solat fardu Asar. Aku duduk semeja dengan abang Kashfi. Kami minum sambil berbual-bual. Setelah menghabiskan minumannya, abang Kashfi memohon untuk beredar dahulu kerana masuh ada tugasan yang belum diselesaikannya. Tinggallah aku keseorangan di situ.
Tiba-tiba hatiku terasa hendak membuka ruangan luar berzip begku yang tidak pernah aku pedulikan sebelum ini.
Alangkah terkejutnya aku apabila ku dapati beberapa keping kad berwarna merah jambu terselit di ruangan tersebut. Tergerak hatiku untuk membacanya. Isinya penuh dengan puisi-puisi indah memuji kebesaran dan kemuliaan Ilahi. Aku membelek-belek kad tersebut dan kehairanan siapakah pula yang meletakkannya di situ. Yang aku jumpa hanyalah tulisan S&B.
Dalam pada hatiku tertanya-tanya itu, kelihatan Ainush Syifa’ sedang melintas dihadapanku. Berkemungkinan besar dia ternampak aku sedang memegang kad tersebut. Kerlipan matanya seolah-olah dia tersenyum kepadaku. Hatiku berkata,
“Adakah kad ini daripadanya?” Hatiku mereka-reka.
Dalam beberapa ketika kelibatnya terus hilang daripada pandanganku.
Malam itu, sebelum aku melelapkan mata, aku masih tertanya-tanya siapakah yang meletakkan kad-kad ini di dalam begku.
“Mungkinkah Ainush Syifa’, adakah dia sudah memahami isi hatiku terhadapnya selama ini?” Bisik hatiku sendirian.
Dalam aku berkhayal itu, akhirnya mataku terlelap jua.
Selepas hari itu, aku masih mendapati adanya kad merah jambu di ruang yang sama di dalam begku. Sehingga kini sudah hampir empat tahun aku menerima kad-kad merah jambu tersebut tetapi aku masih belum tahu siapakah gerangan yang menghantar kad tersebut.
“Adakah perlu aku berterus-terang dan bertanya kepada Ainush Syifa’?” Bisik hatiku.
Tiap kali aku ke mat’am bersama abang Kashfi, pasti dia akan lalu di sebelah meja kami sambil memandang ke arah kami.
“Adakah dia ingin menyampaikan sesuatu maksud kepadaku?” Hatiku sering tertanya-tanya.
Seperti biasa, apabila aku membuka ruangan begku pasti terselit kad merah jambu itu dan yang pasti isi kandungannya sentiasa berlainan.
Kini koleksi kad-kad tersebut sudah banyak dalam simpananku dan aku masih belum dapat memahami maksud tulisan S&B itu, kadang kala aku membacanya berulang kali kerana ayatnya begitu menyentuh kalbuku. Sedar tak sedar, kini aku sudah berada di semester akhir. Peperiksaan akhir juga sudah habis dan tak lama lagi aku akan memperoleh ijazahku sama seperti abang Kashfi. Abang Kashfi pula sudah hampir setahun menamatkan pengajiannya di situ.
“Pasti dia sudah bekerja atau mungkin sedang mencari pasangan hidupnya.” Bisik hatiku.
Sehingga ke hari ini, aku masih tercari-cari siapakah yang memberikan aku kad tersebut dan bila pula dia meletakkan kad-kad tersebut di dalam begku ini. Hari graduasiku bakal menjelang tiba dan aku akan menerima ijazahku. Aku amat gembira dan berbangga kerana hasil penat lelahku di situ akan mendapat ganjarannya.
Hari yang dinanti-nantikan itu pun tiba. Kelihatan begitu ramai ibubapa yang hadir pada hari tersebut. Aku juga tidak ketinggalan menantikan kehadiran ummi dan walid. Dari jauh kelihatan Ainush Syifa’ sedang berbual-bual mesra bersama kedua ibubapanya dan bersama mereka ada seorang muslimah berpurdah.
“Seperti aku pernah melihat muslimah itu sebelum ini, tapi di mana?” Hatiku tertanya sendirian sambil memaksa otakku mengingatinya tapi hampa.
Tak sabar rasanya ingin aku memperkenal gerangan muslimah yang telah menawan hatiku ini kepada ummi dan walid meskipun ummi pernah memberitahuku bahawa dia berkenan pada seseorang untuk dijadikan calon isteriku beberapa tahun yang lalu. Namun aku mengambil sikap mendiamkan diri sahaja.
Tidak lama kemudian, ummi dan walid pun tiba. Aku mengajak mereka masuk ke dalam dewan konvokesyen. Suasana di situ begitu meriah sekali. Selesai upacara penyampaian ijazah, semua keluarga dijemput ke dewan makan. Di situ aku sempat membisikkan ke telinga ummi tentang muslimah yang ingin ku jadikan calon isteri. Kebetulan ketika itu Ainush Syifa’ sedang berjalan beriringan dengan muslimah berpurdah tadi di hadapan kami. Alangkah terkejutnya ummi kerana ia amat kenal sekali dengan keluarga itu.
Ummi dan walid segera menuju ke arah mereka. Mereka berpelukan tanda kerinduan kerana lama tidak berjumpa. Aku di situ kehairanan dan tidak berganjak dari tempat aku berdiri tadi. Malu rasanya untuk ke sana, tapi setelah dipanggil oleh ummi, aku pun menghampirinya dan bersalaman dengan ayah Ainush Syifa’. Selesai berbual-bual, kami memohon untuk beredar dari situ. Aku mengambil keputuasan untuk pulang bersama ummi dan walid pada petang itu juga.
Setelah selesai mengangkat semua barang-barangku ke dalam kereta. Kami pun bertolak meninggalkan perkarangan kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menjadi kenangan indahku selama empat tahun sebagai penghuninya. Di dalam kereta, belum sempat aku membuka mulut, ummi telah memulakan bicaranya terlebih dahulu.
“Wahai anakku, kalau muslimah itulah yang bakal menjadi pilihan hatimu, demi Allah, ummi redha. Ibunya itu adalah sahabat ummi. Kami sama-sama menuntut di universiti Madinah dahulu dan anak gadisnya itu merupakan calon menantu yang ummi cadangkan kepada kamu.” Bicara ummi kepadaku dan walid hanya tersenyum.
Alangkah gembiranya hati ini apabila pilihan hatiku dipersetujuinya. Ummi dan walid memang pernah menyarankan kepadaku jika ada jodohku, tidak salah kalau kamu ingin segera berumah tangga. Pada zaman sekarang ini, terlalu banyak dugaan dan rintangan dalam memelihara maruah diri. Maksiat berlaku di mana sahaja termasuk di kaki-kaki lima seperti sabda Rasulullah s.a.w.
Ummi dan walid akan menanggung segala perbelanjaan perkahwinanku kerana aku merupakan anak tunggal mereka. Sebelum menghantar rombongan meminang, aku mengutuskan warkah kepada Ainush Syifa’ bagi mendapatkan kepastiannya tentang hasratku ini. Namun, warkah jawapan yang aku tunggu-tunggu tidak jua kunjung tiba.
Tiba-tiba, lamunanku terhenti tatkala aku dikejutkan dengan dentuman bunyi guruh dan kilat yang sambar-menyambar. Aku terkejut, terasa hampir luruh jantungku ini. Aku segera beristighfar. Namun, warkah jawapan yang ku terima ini tetap utuh di tanganku.
Aku membaca isi kandungannya, hatiku bagaikan direntap, hancur luluh ibarat kaca terhempas ke batu. Aku sungguh terkilan dan kecewa kerana lain yang aku harapkan, lain pula yang aku terima. Bukan jawapan bahagia, tetapi sekeping kad jemputan perkahwinan.
Sekeping kad yang memusnahkan segala impianku. Itulah kad jemputan perkahwinan antara SYARIFAH NUR AINUSH SYIFA’ BINTI SYED AL- FATEH AL-YAMANI dan MUHAMMAD AL-KASHFI BIN MUHAMMAD AL-HATIM. Saat guruh berdentuman dan kilat sabung-menyabung, tanpa ku sedari air mata jernih ini terus mengalir membasahi pipiku.
Sepantas kilat memoriku berputar kembali, rupa-rupanya cintaku selama ini hanya bertepuk sebelah tangan. Baru kini aku sedari bahawasanya abang Kashfi lah yang sebenarnya membuatkan Ainush Syifa’ tersipu-sipu malu pada pertemuan pertama kami ketika Minggu Mesra Siswa dulu.
Ketika di maktabah pun begitu, meja kami berbincang selama ini pun memang tidak pernah jauh daripada meja abang Kashfi berbincang dengan rakan-rakannya. Sebab itulah dia menegurku ketika hanya tinggal aku dan Ainush Syifa’ yang menyiapkan kerja-kerja tugasan kami ketika ketiadaan Fareez dan Balqis dahulu.
Begitu juga di mat’am, Ainush Syifa’ bukan memandang kepadaku sebenarnya tetapi kepada abang Kashfi yang berada berhampiran dengan kami.
“Selama ini aku hanya bermain dengan perasaanku sahaja. Hahaha... rasa seperti orang bodoh saja aku ni.” Bisik hati kecilku.
Tiba-tiba aku mendengar ummi memanggilku.
“Shatirie... dah siap ke belum, kan kita mahu ke rumah pilihan hatimu itu?” kata ibu memanggilku.
Aku tiba-tiba menjadi resah dan runsing seketika. Segera aku ke bilik air untuk membasahi mukaku. Hatiku tertanya-tanya,
“Siapakah sebenarnya kekasihku di mata ummi? Aku harus mendapatkan kepastiannya.
Aku segera mendapatkan ummi dan bertanyakan kepadanya siapakah sebenarnya yang ingin ummi jodohkan denganku. Ummi tersenyum lalu berkata,
“Siapa lagi kalau bukan Balqis, muslimah berpurdah yang kamu tunjukkan pada ummi pada hari terakhir kamu di universiti hari itu?” Jawab ummi spontan.
Aku tergamam tiba-tiba.
Selepas itu, baru aku teringat mungkin ummi tersalah pandang akan muslimah yang aku tunjukkan pada ummi tempoh hari.
“Oh, ketika itu Balqis memang sedang berjalan beriringan dengan Ainush Syifa’ di hadapan kami. Baru aku teringat, macam mana aku pun boleh tersilap pandang?” Tanyaku sendirian.
Mungkin kerana kedua-duanya berjubah dan berpurdah pada hari tersebut. Jubah mereka juga seakan-akan sama berwarna gelap dan yang membezakannya hanyalah coraknya.
Aku tertawa sendirian dengan salah faham ini. Lalu aku jelaskan kepada ummi akan hal yang sebenarnya. Sebetulnya aku ingin memperkenalkan Ainush Syifa’ bukannya Balqis. Ummi bagaikan tersentak dan dengan segera beristighfar. Lalu sebagai naluri seorang ibu, ummi berkata,
“Wahai anakku, mana mungkin kamu boleh bernikah dengannya. Sebenarnya Ainush Syifa’ itu sudah ditunangkan sejak kecil lagi. Ibunya merupakan sepupu kepada ummu Balqis. Ibunya, ummu Balqis, ummi dan seorang lagi sahabat kami namanya Ummu Sayyida pernah
menuntut di universiti Madinah.
Di sana kami semua dipertemukan jodoh dengan lelaki arab Madinah, termasuklah walid kamu. Tetapi sebaik sahaja Ainush Syifa’ dilahirkan, ibunya meninggal dunia. Oleh kerana wasiat terakhirnya kepada kami supaya jika anak yang dilahirkannya itu merupakan anak perempuan, maka kahwinkanlah ia dengan anak lelaki Ummu Sayyida.
Ketika itu kamu baru berusia setahun dan Kashfi berusia 2 tahun. Memandangkan Ummu Saiyyida amat rapat dengan arwah, maka dia pun bersetuju untuk menjodohkan anak lelakinya iaitu Kashfi dengan Ainush Syifa’ sejak kecil lagi.
Selepas kami menamatkan pengajian di Madinah, kami berpisah mengikut suami masing-masing. Ummi menetap di Madinah bersama walid kamu, Ummu Sayyida pula pulang ke Malaysia bersama suaminya dan ummu Balqis berhijrah ke Jordan.
Sebelum berangkat ke Jordan, bapa kepada Ainush Syifa’ mengamanahkan ummu Balqis supaya membawa bersamanya Ainush Syifa’. Kebetulan pada tahun yang sama Balqis pun lahir. Maka dipeliharalah oleh ummu Balqis akan kedua-dua bayi seusia itu dengan penuh kasih sayang.” Cerita ummi dengan panjang lebar.
Justeru itu, barulah aku faham dan mengerti segala-galanya. Dengan rela hati dan bertawakkal kepada Allah, aku mengikut keluargaku ke rumah Balqis. Setibanya di sana, kelihatan semuanya sudah berkumpul termasuklah Ainush Syifa’ dan Balqis. Tetapi tidak pula kelihatan abang Kashfi.
“Oh, baru aku teringat akan abang Kashfi yang sedang bertugas di Syria sekarang ini sebagai seorang pensyarah. Kan dia yang bagi tahu aku hari itu.” Hatiku bertanya dan menjawab sendiri.
Upacara merisik dan meminang itu berjalan dengan lancar sekali tanpa sebarang masalah. Kali ini aku hanya pasrah menurut kehendak ummi dan walid.
Pada malamnya setelah kami pulang ke rumah, aku baring di atas katilku.
“Maknanya sekarang ini semua sahabat ummi telah menetap di Malaysia. Makin bertambah eratlah hubungan mereka selama ini, ditambah pula dengan ikatan pernikahan ini.” Bisik hatiku sendirian.
Nampaknya aku akan menemui cinta baruku selepas ini. Pertunangan itu tidak mengambil masa yang lama. Atas persetujuan bersama, keluargaku, keluarga Ainush Syifa’ dan keluarga abang Kashfi berpakat untuk mengadakan majlis perkahwinan ini bersama.
Malam berganti siang, matahari masih terbit dari timur dan tenggelam di barat. Selesai majlis akad nikah antara aku dengan Balqis dan abang Kashfi dengan Ainush Syifa’dengan mas kahwin surah Al-Baqarah dan Ali-Imran, maka bersandinglah dua pasangan mempelai itu di atas pelamin lengkap berpakaian pengantin. Majlis yang diadakan itu hanyalah secara kecil-kecilan. Pada majlis tersebut, Fareez juga turut hadir bersama keluarganya.
“Tahniahlah Shatir! Dapat juga anta kahwin dengan impian hati anta tu. Nampaknya ana seorang sajalah yang masih bujang.” Katanya sambil tersengih-sengih.
“Rupa-rupanya dia pun selama ini tersalah faham rupanya.” Hatiku berbisik sambil tersenyum.
“Terima kasih wahai sahabatku.” Jawabku pantas.
Dia senyum kepadaku. Jelas terpancar kegembiraan di wajah kami berempat di hari berbahagia itu. Satu lagi berita yang baru aku tahu sebenarnya Ainush Syifa’ dan abang Kashfi tidak pernah berjumpa sebelum ini dan pada hari pertama kami berselisih, itulah kali pertama mereka bertentangan mata.
Dua minggu selepas hari perkahwinanku, aku dan Balqis berpindah ke rumah baru. Rumah yang dibeli oleh walid kepadaku sungguh cantik lagi indah. Rumah itu kini sudah diubah suai supaya lebih kelihatan ala kampung sesuai dengan permintaanku. Kedudukannya cuma lebih kurang 5 kilometer dari rumah ummi dan walid.
Malam itu selepas selesai solat Isyak, aku ke bilik. Balqis sudah sedia ada di situ. Di tangannya ada sepucuk warkah dan sebuah kotak.
“Itu kotak aku.” Bisik hatiku.
“Abang, abang masih belum membuka warkah Balqis ini?”
“Belum, warkah apa tu?” Tanyaku.
“Surat ini Balqis utuskan kepada abang sebelum kita berkahwin lagi.” Kata Balqis.
Ketika itu barulah aku teringat kembali, semasa aku menerima warkah Ainush Syifa’ pada hari hujan turun dengan lebat dan guruh berdentuman serta kilat sambar-menyambar hari itu, memang ada sepucuk lagi warkah bersamanya, tetapi aku tak pasti ke mana perginya warkah itu.
“Di manakah Balqis menemui warkah ini?”
“Ummi yang bagi petang tadi sebelum kita ke sini. Dia terjumpanya ketika mengemas bilik abang tempoh hari.”
Dengan rasa bersalah aku menghampirinya. Aku berkata dengan lembut,
“Maafkan abang kerana lupa untuk membaca warkah Balqis ini, tapi abang memang perasan ada menerima surat itu.”
“Tak mengapalah bang. Lagipun kan sekarang ini kita sudah menjadi suami isteri, tiada lagi ertinya surat ini.”
Walaupun begitu, timbul juga rasa ingin tahu akan kandungan warkah itu. Aku memintanya supaya menceritakan apa yang tertulis di dalam surat itu. Akhirnya dia menceritakannya bahawa sebenarnya dia ingin memberitahu kepada aku yang dia telah selamat kembali ke Malaysia dan telah pulih daripada penyakitnya itu. Aku bertanya lagi,
“Penyakit apakah sebenarnya yang Balqis hidapi itu?”
Balqis menceritakan segala-galanya kepada aku. Kini barulah aku ketahui rupa-rupanya Balqis menghidapi masalah komplikasi hati. Sebenarnya Balqis pernah menjalani pembedahan hati di Jordan ketika remaja dahulu. Dengan kebesaran dan kekuasaan Allah, masih ada insan yang bersimpati untuk mendermakan hatinya kepada Balqis. Penerangan Balqis itu membuatkan aku tersentak lalu teringatkan sesuatu.
“Subhanallah! Apakah ini kebesaran Allah?”
“Balqiskah gadis yang mempunyai masalah hati yang dijangkiti kuman di Jordan dulu? Gadis yang berusia 15 tahun ketika itu? Gadis yang memerlukan hati baru dengan segera? Gadis yang kedengaran suaranya dicorong-corong radio memohon bantuan. Kamukah itu?” Tanyaku dengan perasaan yang amat mengejutkan.
Balqis tiba-tiba menitiskan air mata.
“Ya, benar. Semua itu benar belaka. Balqislah gadis itu.”
Aku terdiam, tiba-tiba hatiku berdebar, mulalah aku teringatkan ketika aku berusia 16 tahun. Heboh satu dunia arab yang seorang remaja perempuan Jordan memerlukan penderma hati dengan segera bagi menggantikan hatinya yang dijangkiti kuman. Aku terpanggil dan dengan rasa ikhlas lagi rendah diri dan atas persetujuan ummi dan walid, aku redha untuk menjalani pembedahan pemindahan hati tersebut. Otakku berputar-putar mengingati semula semua peristiwa-peristiwa itu.
“Ya Allah, betapa kecilnya dunia ini. Kamulah rupanya gadis itu yang abang sendiri tidak sempat untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.”
“Abang! Abang tahu tak, Balqis sendiri terkilan kerana tidak dapat mengenali siapakah insan yang mulia hatinya dan sanggup berkorban untuk Balqis. Pada masa itu Balqis hanya mampu memanjatkan kesyukuran kepada Allah supaya insan mulia ini diberkati dan dirahmatiNya.”
“Balqis juga berdoa kepada Allah, sekiranya pemuda itu benar-benar ikhlas dan luhur hatinya, perkenankanlah jika suatu hari nanti kita dipertemukan dan Allah menjodohkan kita berdua. Allahu Akbar! Syukur Alhamdulillah Allah memperkenankan doa Balqis ini.”
“Abang, Ainush Syifa’ ada tunjukkan pada Balqis surat yang abang tulis kepadanya. Rupa-rupanya abang ada hati pada dia ya. Patutlah dulu abang macam tak pandang saja pada Balqis.” Kata Balqis seperti merajuk.
“Eh, tak perasan la pula abang, maaf sajalah ya.”
“Eh, kotak yang Balqis pegang tu abang punya. Kenapa pula ada pada Balqis?” Tanyaku.
“Oh, kotak ni. Balqis dah lihat isi kandungannya. Maaf kerana tak minta kebenaran abang terlebih dahulu. Terima kasih kerana abang masih menyimpan kad-kad yang Balqis kirimkan ini.”
“Ya Allah, kad-kad itu rupanya daripada Balqis. Mati-mati abang ingatkan daripada Ainush Syifa’.”
“Sebenarnya Balqis yang meminta tolong Ainush Syifa’ supaya meletakkan kad-kad ini ke dalam beg abang tiap kali abang keluar ke tandas. Kan abang akan ke tandas tiap kali pukul 10 pagi setiap hari.”
Kami ketawa kecil mengingatkan peristiwa tersebut. Rupanya Balqis sentiasa memerhatikan gerak-geriku ketika itu.
“Barulah aku perasan rupanya tulisan S&B yang tertulis pada setiap kad-kad itu bermaksud SHATIRIE dan BALQIS.”
“Balqis, abang bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana dipertemu dan dijodohkan dengan Balqis. Balqis sajalah isteri abang di dunia dan akhirat. Kita lupakan saja semua kisah silam. Kita jadikan ia sebagai sebuah kenangan, sekarang kita buka cerita cinta baru kita. Hati abang kini hanya milik Balqis saja.
“Balqis pun begitu juga.”
“Abang rasa hari ini benar-benar penuh dengan keberkatan.”
Balqis bangun dan meletakkan kembali kotak dan warkah itu di atas meja kecil sebelah katil.
Balqis mendekatkan diri kepadaku. Dia menyandarkan kepalanya ke dadaku. Suasana yang indah nan segar memenuhi keseluruhan bilik pengantinku. Tirai pun berlabuh lalu kedua-dua hamba Allah itu larut dalam rasa syukur yang mendalam dan tenang. Bahagianya hatiku ketika itu.
0 comments:
Post a Comment