Oleh: Abu Usamah Mohd Masri Bin Mohd Ramli
Sumber: http://the-authenthic.blogspot.com/
"Assalamualaikum wbt.
Selepas novel Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan entah apa lagi 'novel pembina jiwa' dari tanah seberang. Semuanya berkisar cinta yang di dasari landasan Islami.
Ramai memberikan komentar positif. Dan penggiat seni tanah seberang maju lebih daripada selangkah, filem-filem dan drama-drama yang berbentuk pembina jiwa, cinta Islami mula mendapat tempat.
Umat Islam Malaysia tidak terlepas dari tempiasnya. Maka muncul cadangan agar penggiat seni Malaysia mengorak langkah. Cambahkan karya-karya pembina jiwa, lambakkan cinta Islami di kalangan muda mudi. Biarkan muda mudi kita faham bahawa Islam meraikan perasaan cinta manusia asalkan pada jalan yang betul.... (selanjutnya)
Tetapi, saya mula mengesan bahaya dan bencana. Ya bencana. Bencana ini akan menipu orang-orang yang jahil ilmu agama, apatah lagi dalam keadaan jahil itu mereka mahu kembali kepada agama.
Saya teringat satu babak dalam karya seorang novelis Islami dari tanah seberang yang digilai peminat novel Islami Malaysia. Di dalam karyanya itu, beliau memuatkan satu babak bergurau senda, saling bersentuhan di antara abang dan adik angkat. Ya, abang dan adik angkat. Bukan mahram. Dan kerana mereka bukan mahram, maka diakhir cerita mereka bernikah. Tapi sebelum pernikahan, hubungan mereka seperti adik beradik- dan ketika itu mereka memang sedar mereka adik beradik angkat-. Jadi, apa yang mahu ditonjolkan oleh penulis novel Islami berkelulusan institusi ulung di alam Islam sedunia ini?
Bukankah babak ini mengelirukan masyarakat yang sudahlah ramai keliru dalam isu mahram bukan mahram, tiba-tiba muncul karya si penulis novel Islami ini yang hanya akan menyakinkan masyarakat bahawa apa yang mereka keliru inilah yang benar, sedangkan hakikatnya salah!
Dan karya Islami ini jua muncul dalam drama-drama yang mula menyebar masuk dari tanah seberang.-sebaiknya tidak ditonton televisyen-. Bagaimana dengan satu drama popular tanah seberang, yang membawa mesej Islami, menampilkan babak cinta seorang teruna Aqso dengan si Madina, dan si Fira. Madina dan Fira ialah adik beradik. Madina gadis bertudung litup, kuat agama. Madina selalu menasihati Aqso agar mencintai Fira, kakak Madina. Madina menyuruh Aqso melafaz kata cinta kepada Fira. Madina menyuruh Aqso membawa Fira, ke tempat romantik. Ibu bapa Fira dan Madina, amat suka untuk Aqso membawa Fira ke hulu ke hilir. Ketika Aqso sakit mahu bersalin (lahirkan anak dengan seorang lelaki bernama Pasha), Aqso juga yang menjaganya.
Anda tahu apa yang ada dalam fikiran saya ketika menonton drama ini -celaka kau Masri, tonton Drama, kata Salafi. Ya Tuhan, ampunkan aku kerana kelalaian-. Saya sangka Aqso pernah bercinta dengan Madina, tapi berkahwin dengan Fira. Lalu Madina sebagai gadis solehah menasihati Aqso supaya mencintai Fira kerana Fira isterinya, dan tidak boleh Aqso mengambil Madina sebagai isteri kedua kerana haram mengumpulkan dua beradik sekaligus. Ini yang saya fikirkan. Lalu saya kata, bagus Madina, dia benar-benar kuat pegangan Islaminya. Dia mahu kakaknya bahagia. Dia tidak mahu membuat dosa kerana dia tahui tiada poligami dengan cara mengumpulkan dua beradik. Ini yang saya fikirkan. Lalu saya fikir, apabila Madina mengarahkan Aqso melafaz kata cinta, membawa Fira ke tempat romantik, ialah supaya Aqso dapat membina rasa cinta kepada Fira yang sudah menjadi isterinya. Lalu saya kata bagus nasihat Madina. Dia menasihati orang yang dia cintai agar melupakan dia dan mencintai isteri yang sah yang juga kakak kepada Madina.
Tapi, anda tahu apa yang saya temui di hujung cerita. Ketika di tempat romantik itu - Aqso menurut nasihat Madina untuk membawa Fira ke tempat romantik-, Aqso melafazkan satu ayat yang membuat saya terkejut gila, terus naik menyampah dengan cerita itu. Aqso kata kepada Fira "Kita kahwin ya!". Saya terkejut. Saya fikir mereka sudah berkahwin.
Jadi, kenapa saya marah sangat?
a) Drama ini mengelirukan umat yang sudah sedia keliru. Dengan latar belakang Islami, maka orang membuat kesimpulan tiada salah berdua-duaan dengan bukan mahram, tiada salah saling melafaz kata-kata romantis kepada bukan mahram.
b) Drama ini menunjukkan kemungkaran hanyalah bersentuh dan berzina. Berdua-duaan dengan bukan mahram bukan satu kemungkaran. Selagi mana tidak bersentuh tidak mengapa.
c) Drama ini mengajar ibu bapa agar membiarkan anaknya keluar dengan lelaki bukan mahram. Kenapa saya kata drama ini mengajar sedemikian? Ya, kerana drama ini drama beraspirasikan cinta Islami. Saya yakin emak saya suka cerita ini (berdasarkan pengalaman menonton drama-drama aspirasi Islami dari tanah seberang bersama emak), dan saya yakin emak saya akan beranggapan tidak salah membiarkan anak-anak daranya keluar dengan bukan mahram.
d) Drama ini menjadikan penonton keliru kerana yang menasihati Aqso supaya keluar dengan Fira, menjalin hubungan rapat dengan Fira ialah Madina, si gadis yang kuat agama, bertudung litup, bersolat.
e) Madina digambarkan sebagai gadis yang kuat imannya. Dia membawa kakaknya Fira ke sekeliling kota melihat kehidupan orang-orang susah supaya dapat menyedarkan kakaknya bahawa di luar sana masih ramai orang tidak bernasib baik. Ini kerana ketika itu Fira baru sahaja keguguran bayinya. Tapi, babak ini juga akan menguatkan segala tindakan Madina mengarahkan Aqso menjalin hubungan cinta dengan Fira. Kerana begini.
Pertama: Penonton sudah membina satu persepsi Madina sebagai gadis solehah, kuat agama. Lalu tindakan yang diambilnya adalah pasti menepati syariat.
Kedua: Ketika Madina menasihati Aqso supaya mencintai Fira, Madina mengungkapkan kata-kata "Cinta adalah anugerah daripada Allah".
Ketiga: Lalu Madina mengarahkan Aqso menjalin hubungan dengan Fira.
Keempat: Maka, penonton akan menjustifikasi KETIGA berdasarkan PERTAMA dan KEDUA. Maka, ketika itu, isyarat yang sampai kepada penonton ialah: Keluar berdua dengan bukan mahram, melafaz kata cinta dan romantis kepada bukan mahram, bukanlah satu perkara yang bertentangan dengan syara'. Bahkan ia adalah satu anugerah Allah apabila Allah mengurniakan perasaan cinta itu kepada hamba-hambanya.
Saya sudah nampak bencananya. Dan drama ini juga adalah satu aspirasi dari novel-novel cinta Islami kerana di dalam satu babaknya terpapar watak Aqso sedang membaca novel "Ketika Cinta Bertasbih".
Apakah kalian bersetuju dengan saya bahawa novel-novel pembina jiwa dari tanah seberang yang membawa mesej cinta Islami, apatah lagi drama dan filemnya, sebenarnya satu bencana dan bala buat umat Islam?"
Dalam artikel ini telah menerangkan kepada kita semua bagaimana ketika ini,di akhir zaman ini, terlalu banyak pemikiran-pemikiran barat yang sentiasa cuba untuk mempengaruhi umat Islam.Hatta sebuah filem yang menggunakan tag nama ISLAM juga di gunakan untuk mempengaruhi kita semua.Jadi, persoalannya,sejauh manakah persediaan kita dan kekuatan kita untuk mempertahankan diri daripada di pengaruhi anasir-anasir ini?Tiada pertahanan lain selain pertahanan iman dan taqwa.....INSYAALLAH....
Saturday, December 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Post a Comment